Thursday, January 5, 2012

PENENTANGAN KAUM QURAISY DI MEKAH

Pengenalan


Semasa Nabi Muhammad menyampaikan seruannya secara sulit, tidak terdapat sebarang bentuk penentangan yang ketara dari kaum Quraisy. Semasa seruan mula dijalankan kepada keluarga Abdul Mutalib, penentangan hanya timbul daripada kalangan kaum kerabat baginda sendiri. Kaum Quraisy yang lain pula menganggapnya sebagai masalah dalaman keluarga Bani Hasyim yang boleh diselesaikan sesama mereka sendiri. Namun setelah seruan secara terbuka dijalankan dan ia mendapat sambutan di luar dugaan dan setelah Nabi Muhammad mula menyentuh soal-soal penyembahan dan ajaran nenek moyang mereka, maka kaum Quraisy mula bimbang lantas mengadakan pelbagai usaha untuk mebendung perkembangan Islam.


Sebab Penentangan


Politik


Dalam politik orang Arab khususnya politik kota Mekah, perebutan kuasa sudah menjadi teras politik mereka. Hal ini dapat dibuktikan dan pentadbiran kota Mekah yang pada mulanya dikuasai oleh Puak Amaliqah, kemudian oleh puak Jurhum, diikuti oleh puak Khuzaah dan akhirnya puak Quraisy. Muhammad adalah dari kaum Quraisy yang berketurunan Bani Hasyim. Bani-bani lain dari kaum Quraisy terutamanya Bami Umayyah mahu kuasa pentadbiran Mekah berada di tangan mereka. Menerima ajaran Islam seolah-olah mereka tunduk di bawah Bani Hasyim. Keunggulan peribadi Muhammad yang terkenal sebagai seorang yang amanah dan mempunyai budi pekerti yang tinggi membimbangkan bani-bani lain. Sekiranya Muhammad berjaya menjadi pemimpin, mereka bimbang kuasa kepimpinan tersebut akan dipegangnya dan ini menyebabkan bani lain tidak lagi berpeluang meletakkan diri mereka sebagai pemimpin. Tanggapan ini timbul akibat dari kekeliruan orang Musyirikin tentang konsep kenabian dan kepimpinan.


Ekonomi


Pengharaman berhala akan menyebabkan kedudukan musyirikin Mekah terjejas. Agama Islam menentang penyembahan berhala kerana ia dianggap syirik. Pengharaman ini akan menyebabkan pengukir patung, peniaga berhala dan juga penjaga Kaabah kehilangan sumber pendapatan.

Penentangan orang musyirikin juga disebabkan agama Islam yang dibawa oleh Nabi menentang penjualan hamba abdi. Orang musyirikin yang menpunyai kedudukan tinggi biasanya memiliki hamba yang ramai, malah bilangan hamba dikatakan melambangkan status seseorang. Mereka menggunakan tenaga hamba dengan percuma bagi membantu dalam kegiatan ekonomi. Pengharaman hamba sudah pasti akan menjejaskan kedudukan ekonomi mereka.


Orang musyirikin juga bimbang kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan, pusat ibadat dan pusat kebudayaan akan terjejas dengan kedatangan Islam. Mereka percaya Mekah maju disebabkan adanya patung-patung berhala yang diletakkan di sekeliling Kaabah. Sekiranya patung-patung itu dibuang, mereka bimbang orang ramai tidak lagi mengunjungi Mekah.


Sosial


Menurut Islam, manusia akan dibangkitkan semula untuk diberi pembalasan terhadap perbuatan baik dan buruk yang dilakukan di dunia. Orang musyirikin yang sememangnya sentiasa melakukan perbuatan buruk seperti berzina, membunuh anak dan sebagainya takut akan pembalasan yang akan diterima nanti. Hal ini disebabkan mereka tidak faham tentang konsep taubat dalam ajaran Islam.

Ajaran Islam mengganggap semua manusia adalah sama tanpa mengira bangsa atau pangkat. Yang berbeza hanya dari segi ketaqwaannya. Menerima Islam bererti mereka akan meletakkan taraf mereka sama dengan golongan hamba. Golongan musyirikin juga menentang konsep persaudaraan Islam. Mereka turut menentang segala amalan sosial yang dianjurkan oleh Islam seharian kerana ia bertentangan dengan kehidupan biasa mereka.

Agama Islam sangat bertentangan dengan ajaran nenek moyang mereka. Orang musyirikin sangat kuat berpegang kepada tradisi nenek moyang atau sunnah. Mereka bimbang jika mereka menerima Islam, mereka akan melanggar adat tradisi mereka dan akan dimakan sumpah.

Golongan musyirikin menentang Islam kerana perbezaan dasar agama dan ketuhanan. Islam ialah agama monteisme. Sebaliknya, kaum Quraisy menyembah tuhan-tuahn berhala daripada pelbagai jenis dan bentuk. Malah mereka menganggap lagi bahawa penyembahan berala ialah mendekatkan lagi diri kepada Allah.


Cara Penentangan


Perang Saraf


Orang musyirikin melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Nabi dengan harapan masyarakat Arab tidak terpengaruh dengan dakwah yang disampaikan. Mereka mengatakan Nabi gila, penipu, ahli sihir dan tamak. Sungguhpun begitu, semua tuduhan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada Nabi, malah telah menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan masyarakat Arab. Mereka datang berjumpa dengan Nabi bagi memastikan dakwaan itu benar atau tidak dan ini menguntungkan Nabi.


Menyeksa Nabi dan Orang Islam


Pada peringkat awal, seksaan hanya ditujukan kepada pengikut Nabi, terutamanya golongan lemah seperti golongan miskin dan hamba. Antara yang paling teruk menerima seksaan ialah Bilal Bin Rabbah. Beliau telah dijemur di tengah panas tanpa diberi makan atau minum. Seksaan ini sedikit pun tidak mengubah pendirian beliau. Oleh sebab seksaan ini tidak memberi kesan, mereka pun mulai menyeksa Nabi dengan meletak najis di rumah Nabi, di sujut Nabi dan meletakkan duri di tempat yang dilalui Nabi.


Menawarkan Kekayaan


Orang musyirikin telah mengemukakan pelbagai tawaran bagi memujuk Nabi supaya meninggalkan tugas-tugas dakwah. Antaranya termasuklah harta kekayaan, pangkat dan wanita-wanita cantik. Nabi bukan sahaja menolak tawaran tersebut tetapi telah menjawab dengan tegas sambil mengatakan,"Sekiranya orang musyirikin berjaya meletakkan matahari di sebelah kiri dan bulan di sebelah kanan, tetapi Nabi tetap tidak akan berganjak."


Meminta Kerjasama Abu Talib


Apabila semua tindakan yang diambil tidak berkesan, orang musyirikin menemui Abu Talib dan meminta beliau menasihati Nabi. Permintaan tersebut tidak dipedulikan. Mereka juga pernah meminta untuk menukarkan Muhammad dengan seorang pemuda lain yang setanding dengannya.


Memulaukan Bani Hasyim


Orang musyirikin akhirnya mengadakan pakatan untuk memulau Bani Hasyim dan semua umat Islam. Pemulauan ini dilakukan dalam tempoh 10 tahun. Dalam tempoh tersebut, mereka enggan mengadakan sebarang perhubungan termasuklah jual beli, bercakap, ziarah-menziarahi dan sebagainya. Orang-orang Islam telah mengalami penderitaan yang teruk dan ketika inilah 2 orang pendokong kuat Nabi iaitu Khadijah dan Abu Talib telah meninggal dunia. Pemulauan ini hanya dilakukan dalam tempoh 3 tahun kerana tidak semua orang musyirikin bersetuju dengan tindakan tersebut.


Merancang Pembunuhan Nabi


Apabila orang musyirikin gagal menyekat usaha Nabi, mereka akhirnya bersepakat untuk membunuh Nabi. Beberapa orang pemuda telah dipilih untuk melaksanakan tugas tersebut. Rancangan ini telah diberitahu oleh Allah kepada Nabi melalui wahyu. Oleh itu, pada malam rumah dikepung, Nabi ditemani oleh Abu Bakar telah keluar tanpa disedari oleh orang musyirikin. Sebelum bertolak ke Mekah, Nabi dan Abu Bakar telah bersembunyi di Gua Ihur selama 3 hari.


Memerangi Orang Islam


Setelah Nabi dan orang Islam berhijrah ke Madinah, orang musyirikin telah berasa tidak puas hati. Oleh itu, mereka telah melancarkan serangan ke atas orang Islam. Terdapat 3 peperangan penting yang berlaku iaitu Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khadak (Ahzab).


Cara Nabi Menghadapinya


Bersabar


Pada peringkat awal, Nabi meminta orang Islam supaya bersabar menghadapi tindakan dari orang musyirikin. Mereka diminta jangan bertindak balas bagi mengelakkan pertelingkahan yang lebih besar. Lagipun belum ada wahyu yang membenarkan orang-orang Islam bertindak balas.


Membebaskan Hamba


Nabi menggalakkan orang Islam yang berharta untuk membebaskan hamba yang telah diseksa dengan teruk oleh tuan-tuan mereka. Antara sahabat yang menyahut seruan ini termasuklah Abu Bakar yang telah menebus dan seterusnya membebaskan Bilal Bin Rabah dari tuannya Umayyah Bin Khalaf.


Berlindung di Bawah Orang yang Berpengaruh


Bagi mengelakkan peyeksaan orang musyirikin Mekah, Nabi dan orang-orang Islam telah mendapatkan perlindungan dari orang yang berpengaruh dalam masyarakat Quraisy. Nabi sendiri misalnya telah diberikan perlindungan oleh bapa saudaranya Abu Talib.


Berhijrah ke Habsyah


Apabila orang musyirikin menunjukkan penentangan yang semakin hebat, maka Nabi mengarahkan orang-orang Islam supaya berhijrah ke Habsyah. Al-Najasyi yang memerintah Habsyah ialah seorang pemerintah yang baik dan sanggup melindungi orng Islam. Penghijrahan ke Habsyah dilakukan sebanyak 2 kali. Kali pertama berlaku pada tahun ke-6 selepas kerasulan Nabi. Ia diketuai oleh Uthman Bin Affan. Seramai 10 lelaki dan 5 perempuan terlibat. Pada tahun berikutnya, seramai 83 lelaki dan 18 perempuan yang diketuai oleh Jaafar Abu Talib telah berhijrah ke Habsyah.


Berundur ke Taif


Sebelum berlakunya Bai'at Aqabah, Nabi dan anak angkatnya Zald Bin Harithah telah pergi ke Taif untuk berdakwah kepada Bani Thaqif tetapi penduduk Taif mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah. Oleh itu, mereka menolak mentah-mentah dakwah yang disampaikan. Malah mereka mengupah kanak-kanak untuk mencederakan Nabi.


Bai'at Aqabah


Setalah Nabi gagal menyampaikan dakwah di Taif dan kepada penduduk Mekah, Nabi berusaha menemui orang-orang luar yang datang ke Mekah pada musim Haji. Hasilnya, pada tahun 11 selepas kerasulan Nabi, Bai'at Aqabah I telah berjaya diadakan. Hal ini diikuti pada tahun berikutnya dengan Bai'at Aqabah II. Melalui Bai'at Aqabah II, Nabi dan orang Islam dijemput ke Yathrib (Madinah).


Hijrah ke Yathrib


Pada tahun ke-13 selepas kerasulan Nabi, Nabi bersama orang Islam telah berhijrah ke Yathrib bagi mengelakkan tindakan yang lebih keras dilakukan oleh orang musyirikin Mekah. Hijrah ini dilakukan secara bersembunyi. Dengan hijrah ini, peluang bagi orang musyirikin untuk menghalang usaha penyebaran Islam gagal.


Perang


Setelah 2 tahun Nabi berhijrah, turun wahyu yang membenarkan orang Islam berperang bagi mempertahankan diri dan agama. Oleh itu, di dalam Perang Badar yang berlaku pada tahun 2 Hijrah, orang Islam telah mencapai kemenangan yang besar. Kemenangan ini kemudiannya telah menyebabkan orang musyirikin melancarkan serang kedua pada 3 Hijrah yang berakhir dengan kekalahan tentera Islam. Pada 5 Hijrah, orang musyirikin sekali lagi membentuk pasukan tentera bersekutu yang bukan sahaja melibatkan orang musyirikin Mekah, tetapi juga golongan Yahudi, Munafik, kabilah-kabilah Arab kecil seperti Bani Asad, Bani Salim, Bani Yasyjab dan sebagainya.


Rumusan


Nabi Muhammad menghadapi perjuangan yang sukar untuk mengembangkan Islam di sesetengah masyarakat Quraisy yang mengagung-agungkan patung-patung berhala mereka. Namun dalam tempoh hampir 13 tahun itu juga kaum Quraisy berasa amat sukar untuk membendung perkembangan Islam walaupun mereka telah melakukan pelbagai tindakan. Perjuangan Nabi Muhammad tidak pernah mengenal erti kejayaan.

2 comments: